Tuesday, November 23, 2010

Mengapa ‘diri’ itu sukar mengikut katanya sendiri??

Seperti jiwa yang rohnya menjauhi, kekesalan seperti menghentak-hentak sanubari. Kesalahan demi kesalahan dihempap ke atas bahu sendiri. Mengapa begitu sukar? Kata yang menyuruh yang baik itu, hatiku sendiri, yang memungkiri itu juga diri sendiri.

Mengapa sukar menyuruh diri sendiri berbanding paksaan demi paksaan daripada orang lain?

Ya Allah, adakah hati ini tidak bersih? Adakah hati ini hitam? Adakah hati ini terlalu menyimpan hasad dan dengki? Adakah hati ini menyimpan benci yang menebal? Adakah hanya riak dan rasa ujub dan takbur sahaja yang mengulit hati ini? Adakah yang duduk di atas hati ini merupakan syaitan? Syaitan yang lahir dari perbuatan menguap tanpa menutup mulut atau syaitan yang memang ada di dalam hati ini dek hasutan-hasutannya yang berjaya?

Ya Allah, aku tahu zahirnya mata ini sering melihat dan menonton maksiat, yang selalu aku biar ia berlalu di ekor mataku. Ya Allah, aku tahu mulut ini banyak cakapnya buruk daripada baiknya, yang butirnya sering menyentap hati yang dikasihi, mungkin juga mulut ini banyak memuji dan mengangkat diriku sendiri berbanding memuji yang tentunya Maha Besar. Ya Allah, aku juga tahu hidung ini sentiasa menyedut nikmatMu setiap masanya, tetapi sebegitu mudah helaan dan hembusan itu, semudah itu juga aku melupakanMu. Ya Allah, aku juga sedar telinga ini juga memilih yang dirasakan halwa telinga yang terbaik bukan ayat-ayat penawarMu untuk aku tenteramkan jiwa ini. Ya Allah, tangan ini, kaki ini, tubuh ini ya Allah.... telalu banyak dosa yang diheret hari ke hari...

Ya Allah, mengapa sehingga begitu sekali di saat aku menyembahMu aku sebenernya seperti “tiada masa” untuk berfikir tentangMu? Solatku begitu sekali rukunnya tetapi di minda ini hanya ada aktiviti kemudian nanti, makanan apa jamahan tengahari, selesai bagaimana masalah nanti..Apa ini ya Allah, 5minit begitu sekali di dalam 24 jam aku hanya sombong dan bongkak? Apa sebenarnya ya Allah? Apa yang telah aku bina sehingga begitu sekali aku semakin menjauhkan aku dariMu?

Sehingga tiada lagi kemanisannya. Allah....

Ya Allah, RasulMu telah membenarkan kataMu bahawa apa yang dijanjikan akan terjadi, akan terjadi. Kerana, terlalu banyak bukti yang Kau tunjukkan. Tapi ya Allah, beginikah aku? Ini kah aku? Begitu burukkah dan hinakah aku di mataMu? Ya Allah, aku mempelajari dan dididik untuk mengenaliMu dan aku juga megetahui bahawa segala pancaindera...ya...sebenarnya tubuh ini...setiap bahagiannya tidak terlepas dari aduannya padaMu suatu hari nanti. Lalu, apa yang aku miliki sebenarnya? Dengan dosa dan dusta yang aku dapatkan dengan menggunakan mereka, apa lagi Ya Allah? Tiada satu pun milikku. Mereka akan berkata benar denganMu serta mengkebelakangkan aku, sungguhpun kami bersatu berpuluh tahun lamanya. Sehingga pada saat roh itu ditarik, ia seperti tidak membenarkan untuk dibawa malaikatMu untuk pergi, kerana mereka telah bersatu lama. Dan kesakitannya pasti. Kesakitannya kekal sungguhpun bertahun lamanya.

Maka, siapakah aku? Aku itu pada apa, ya Allah? Aku itu hanya nama sahaja kah? Aku itu bukan tangan, kaki, kepala dan sebagainya ya Allah. Lalu, aku itu siapa? Apa hakku di depanMu ya Allah? Segala-galanya milikMu... Aku ini tiada apa, aku juga bukan sesiapa...

Aku sentiasa mencariMu, meminta, mengadu dan merintih di hadapanMu ya Allah. Tapi semua adalah milikMu ya Allah.

Tapi, bolehkah aku meminta sesuatu ini ya Allah? Sebelum aku meminta yang lainnya, benarkan aku meminta yang satu ini. Makbulkan yang satu ini. Kurniakan yang satu ini. Perkenankan yang satu ini. Tolonglah, ya ALLAH!

Ya Allah, aku memohon Kau kurniakan aku sekeping hati.

Sekeping hati yang suci.

Yang bersih.

Supaya aku dapat benar-benar mengikhlaskan jiwaku menyembahMu.

Supaya segala ibadahku diterima.

Supaya ia menjadi hati yang kuat untuk menjauhkan aku dari kejahatan.

Aku meminta hati itu.

Supaya ia suci dari hasad.

Supaya hanya yang terbaik yang diperkatakan tatkala anggota ini menyembah dan mengadu kepadaMu.

Aku meminta hati itu.

Sebelum aku meminta yang lainnya.

Kerana aku ingin ikhlas.

Aku ingin menjiwai setiap yang aku lakukan tatkala aku menyembahMu.

Aku ingin merasai tubuhku bergetar takut atas kebesaranMu.

Aku ingin ibadahku diterima untuk kesetiap kalinya.

Aku hanya ingin hati yang bersih itu.

Kerana hati yang bersih itu sahaja yang mampu menjadikan akal dan tubuh bergerak seiiring dengan apa yang difikirkan.

Aku mahu hati baru, tukarlah ya Allah dengan hati yang aku ada ini.

Aku ingin menjadi baik.

Aku ingin berhijrah.

Maka telahku pilih untuk memohon sekeping hati, sebelum yang lainnya.

Ya Allah, Tuhan Sekalian Alam,

Bantulah aku dan perkenankanlah.

=) Emilia (wrote - 0751, Nov 12, 2010)

No comments:

Post a Comment