Saturday, December 11, 2010

Saat waktu itu berhenti buatku...

Perjalanan hidup kadang-kadang menyesakkan. Sehingga kadang-kadang kita berhenti dari berlari mengikut putaran masa dan berfikir. Eh, untuk apakah ini semua? Adakah perlu kita melakukan ini semua dan apakah benar semua ini memberi kita sesuatu pada suatu hari nanti?

Maka tatkala itu, masa pun berputar meninggalkan insan kecil yang berfikir seperti itu. Pada waktu itu juga, ketika insan kecil itu sibuk mencari, dia melihat, ah semua orang berjaya, semua orang di hadapannya. Aku juga dulu di kalangan mereka, aku juga dulu lebih jauh di hadapan mereka, mengapa kini di saat, pada waktu aku benar-benar di persimpangan hidup, mengapa aku seolah-olah jauh dari itu untuk mengapai kejayaan seperti mereka.

Bukan nasib yang aku kenang, bukan tuah dan bencana yang aku maksudkan, tetapi ke mana pergi kekuatan di dalam diri ini untuk menyambung umur di dalam lautan kehidupan yang tidak dapat aku pastikan laluannya?

Ya Allah, saat rakan-rakan ku semakin hampir memburu kejayaan, saat mereka semakin hampir dengan simpang kehidupan sebenar, aku masih terkulat-kulat dengan menghitung nasibku sendiri. Ya Allah, Kau tidak menjadikan aku insan yang kurang cerdiknya, malah Kau menjadikan aku tempat rujukan mereka selalu. Aku tidak pernah sekalipun menyatakan keputusan aku ini salah, jauh sekali meraguinya. Tapi Ya Rahman, aku juga punya perasaan seperti insan lain yang Kau ciptakan. Tatkala aku melihat soalan-soalan yang dikeluarkan untuk peperiksaan akhir mereka, aku benar-benar terkedu. Sekiranya aku berada di situ, tentu sekali aku seperti dulu, berusaha menjawabnya dengan baik malah mungkin kini saat mereka menyemak keputusan, aku mungkin berada sama tinggi dengan mereka yang benar-benar berjaya. Tapi siapa aku untuk menentukan semua itu? Ya, adakah benar bila aku berada di situ aku benar-benar akan berjaya? Adakah benar soalan yang ku kata mudah itu menentukan aku separas dengan mereka yang hebat?

Ya Tuhan Sekalian Alam, Kau mendengar hati kecil ini. Kau mengetahui segala yang terkandung di dalamnya. Aku tahu, aku sentiasa lalai dalam meletakkan kau sebagai nombor satu di hati ku. Tapi, aku juga hambaMu kan? Aku juga dijadikan penuh dengan kelemahan untuk aku sentiasa bersyukur kepadaMu kan? Walaupun sebenarnya aku lalai.. Aku juga hanya seperti mereka yang lain kan? Memerlukan bantuan mu...

Wahai Tuhan yang hanya berhak menentukan segalanya. Aku semampu kudratku berusaha mencari jalan yang terbaik untuk diriku. Kau pernah menggerakkan hati kecil ini untuk berbuat keputusan seperti itu, maka aku mohon dengan sebenar-benar permohonan supaya kau menunjukkan arah perjalanan untuk aku tempuhi. Terimalah aku, untuk menyambung pengajianku di tempat yang telah aku pohon. Jadikan doa ini benar-benar makbul. Begitu kecil permintaanku ini wahai Tuhan yang menentukan segalanya. Kau memberi akal ini tatkala aku berfikir dan ketika aku berusaha menemukan jawapannya. Tidak satu pun milikku ya Tuhan yang Maha Cerdik. Ketika aku berkeputusan itu, Kau memberi kekuatannya. Tatkala aku diletakkan dalam penantian ini, aku juga memohon kepadaMu sedikit kekuatan dan tatkala masa itu tiba, aku memohon kepadaMu sedikit keberkatan atas usahaku yang dahulu. Sesungguhnya, Kau melihat usahaku dan berkatilah. Aku juga akan mengajar hati ini supaya tidak menyesal, akan aku ajar hati ini supaya redha dengan diriku saat ini. Sesungguhnya, Kau mengetahui apa yang aku perlukan. Ya Tuhan, bulan berganti bulan aku hanya menetap di rumah, hanya sedikit pekerjaan yang aku lakukan. Aku tidak mahu hidup aku disia-siakan. Aku hanya ingin berbakti buat dua orang tuaku. Aku tidak betah di sini, aku sering bersikap kurang ajar dengan mereka, meninggi suara saat aku wajar berbicara lembut, mengingkari perintah mereka saat aku kalut, pergi saat kata-kata mereka perlu untuk aku sambut.

Aku memilih untuk tidak di sini bersama mereka, kerana aku ingin mencari ilmu dengan keberkatan. Biarlah aku jauh dari mereka, kerana saat itu aku akan menghormati dan merindui mereka. Saat itu, benar-benar nasihat mereka menjadi panduan dalam hidupku. Saat itu, aku belajar kesusahan hidup tanpa mereka di sisi. Biarlah Tuhan, biar aku pergi jauh untuk menuntut ilmu, kerana kirannya aku di sini, di hadapan mata mereka, begitu sekali catatan dosaku melambung tinggi. Ya Allah, aku menuntut ilmu kerana kewjibanku. Bagaimana mungkin ilmu itu diberkati olehMu sekiranya aku ini dikatakan tidak mentaati kedua ibu bapanya? Bagaimana mungkin aku selesa belajar dengan bergelumang dosa yang belum tentu diampunkan oleh Mu tanpa diampunkan oleh mereka? Bagaimana mungkin aku boleh jadi anak yang solehah saat ibu bapaku aku ‘tindas’ dengan setiap kata-kata sinis yang mencarik hati mereka? Bagaimana mungkin ilmu itu panduan hidupku akan datang tatkala mendapatnya aku tidak lari dari bergelumang dengan dosa? Aku tidak mampu ya Allah. Aku tidak betah. Aku tidak mampu berkeadaan begini. Aku memohon pertolonganMu. Aku memohon dengan sebenar-benar permohonan. Sekiranya ada sebab lain yang Kau tahu, ada sebab lain aku membawa diri, maka itu hanyalah sekadar aku sebagai manusia biasa. Tetapi yang utama saat ini adalah ibu bapaku. Tak berapa umur lagi aku boleh melihat jasad mereka dilitupi roh. Aku tidak tahu berapa lama lagi yang dapat aku bersama mereka. Aku tidak tahu saat bila Kau akan menjemput mereka. Aku juga tidak tahu siapa yang Kau pilih dahulu antara kami. Maka, salahkah sekiranya aku mengambil kesempatan yang ada untuk aku berbakti? Berbakti bukan sekadar menuntut ilmu tetapi berbakti dengan mendamaikan hati mereka dari sikapku. Salahku dan perilakuku. Apakah tiada ruang untuk anak seperti aku berbakti buat mereka? Apakah tiada ruang sedikitpun buat aku agar aku menjadi anak yang baik? Apakah tidak ada ruang untukku saat aku merasakan aku insan pertama dalam keluarga ini yang diharapkan untuk berjaya. Ya Tuhan, Kau mengetahui, saat aku menerima skrol diploma, akulah yang pertama ibu menghadirinya. Akulah yang pertama menghabiskan pengajian dengan baik. Akulah yang berjaya membanggakannya. Tapi adakah aku mampu untuk terus membanggakannya dengan sikap aku seperti ini? Maka ya Tuhan, kau mengetahui segala-galanya. Beri aku ruang untuk aku pergi dari bumi Malaysia ini, supaya aku belajar mentaati mereka tika aku jauh. Dan supaya sifat taat itu benar-benar terserap dalam jiwa aku sepanjang aku berada di perantauan dan aku pulang hanya apabila ia sebati. Ya Allah, berkatilah laluan ini, tunjukkan aku jalannya, taburkanlah hidayahMu sepanjang jalan itu, doronglah aku untuk bertemu dengan setiap kebaikkannya dan jauhkan aku dari keburukannya. Jadikanlah ia pilihan yang terbaik buat diriku. Wahai Tuhan yang Maha Menyayangi dan memiliki segala-galanya, berkatilah, kasihanilah dan perkenankanlah. Aku memohon dengan sebenar-benar permohonan.

=) Emilia (1535, Dec 11, 2010)

No comments:

Post a Comment